Google Ads · Demand Check · 2026

Google Ads Sesuai Untuk Semua Bisnes?
Jawapan Jujur Sebelum Keluar Duit

An honest demand-check framework before you spend a single ringgit on Google Ads

English Summary

"Let's say I sell handmade belts. Should I advertise on Google? Is Google Ads right for every business?" — another real question from my WhatsApp community, and probably the most important one anyone can ask before spending a ringgit.

My honest answer: no, Google Ads is not for every business. Search ads work when demand already exists, meaning people are actually typing searches for what you sell. If nobody is searching yet, you are paying to fish in an empty pond.

The good news: you can find out in 5 minutes, for free. Keyword Planner (no campaign needed since 2023), Google autocomplete, and Google Trends. This guide walks through the test, runs the handmade-belt case study, and covers what to do if your business fails the test. Full guide in Bahasa Melayu below.

Google Ads sesuai untuk bisnes yang produk atau servisnya memang dicari orang di Google — dan kurang sesuai untuk produk yang permintaannya belum wujud. Cara paling cepat untuk tahu: jalankan ujian demand 5 minit menggunakan Google Keyword Planner (percuma), Google autocomplete, dan Google Trends, sebelum keluarkan sebarang bajet iklan.

Minggu ni group WhatsApp saya hantar satu lagi soalan yang bagus. Bunyinya macam ni: "Katakanlah saya jual tali pinggang buatan tangan. Adakah sesuai saya iklankan di Google? Adakah Google Ads sesuai untuk semua bisnes?"

Saya suka soalan ni. Sebab dia tanya SEBELUM keluar duit, bukan selepas bajet hangus. Dan sebab jawapannya bukan yang kebanyakan orang marketing nak bagi.

Ramai yang jual servis iklan akan jawab "boleh, semua bisnes boleh!" Saya jawab lain sikit. Dah 10 tahun lebih saya urus akaun Google Ads, dan antara kerja yang paling menyelamatkan duit klien ialah memberitahu mereka jangan masuk Google Ads dulu. Artikel ni jawapan penuh saya, termasuk ujian yang awak boleh buat sendiri malam ni jugak.

1. Jawapan Pendek: Tak. Dan Itu Bukan Berita Buruk

Google Ads tidak sesuai untuk semua bisnes. Kempen Search paling berkesan bila permintaan sudah wujud — iaitu orang memang menaip carian untuk produk atau servis anda di Google. Untuk produk yang belum dicari sesiapa, platform yang mencipta permintaan seperti Facebook, TikTok, atau Demand Gen adalah titik mula yang lebih masuk akal.

Kenapa saya berani jawab "tak"? Sebab cara Google Search berfungsi memang begitu. Iklan Search hanya muncul bila ada orang menaip sesuatu. Tiada carian bermakna tiada iklan. Tiada iklan bermakna bajet awak duduk diam, atau lebih teruk, dihabiskan pada carian yang tak berkaitan.

Dalam artikel jenis iklan Google Ads minggu lepas saya terangkan beza dua dunia ni: Google Search menangkap permintaan yang dah wujud, manakala FB dan TikTok mencipta permintaan baru. Dua kerja berbeza. Soalan "sesuai ke tak" sebenarnya soalan "permintaan untuk produk saya dah wujud ke belum".

Dan sebab tu jugak saya cakap ini bukan berita buruk. Kalau produk awak belum dicari orang, itu bukan bermakna bisnes awak lemah. Ia cuma bermakna urutan platform awak berbeza. Ramai bisnes yang hari ni kuat di Google mula dengan membina minat kat tempat lain dulu.

2. Ujian Demand 5 Minit (Percuma)

Ujian demand ialah semakan ringkas untuk mengetahui sama ada orang mencari produk anda di Google sebelum anda berbelanja pada iklan. Tiga alat percuma digunakan: Google Keyword Planner untuk anggaran volume carian bulanan, Google autocomplete untuk melihat carian sebenar yang popular, dan Google Trends untuk arah minat dari masa ke masa.

Ini ujian yang saya suruh setiap peserta kelas buat sebelum mereka sentuh bajet. Lima minit, kos sifar, dan ia jawab soalan paling mahal dalam pengiklanan: ada tak orang cari benda ni?

1

Google Keyword Planner — semak volume carian

Buka ads.google.com, pergi ke Tools > Keyword Planner > "Discover new keywords". Taip nama produk awak dalam beberapa versi: "tali pinggang kulit", "tali pinggang lelaki", "handmade leather belt". Set lokasi ke Malaysia. Percuma, dan sejak 2023 tak perlu jalankan kempen atau masukkan kad untuk akses (Sumber: Google Ads Help). Satu nota dari pengalaman: tanpa perbelanjaan iklan aktif, angka yang keluar adalah julat kasar macam "1K–10K", bukan angka tepat. Akaun saya yang aktif nampak angka penuh. Tapi untuk keputusan go atau no-go, julat tu dah lebih dari cukup.

2

Google autocomplete — tengok apa orang betul-betul taip

Buka Google dalam incognito mode. Taip separuh nama produk awak dan berhenti. Cadangan yang keluar tu ialah carian sebenar yang popular. Taip "tali pinggang" dan perhatikan: apa perkataan yang Google sambungkan? Scroll bawah sekali, tengok bahagian "carian berkaitan". Ini data percuma yang ramai orang pandang sebelah mata.

3

Google Trends — semak arah minat

Buka trends.google.com, set negara ke Malaysia, dan masukkan istilah produk awak. Trends tak bagi angka volume, tapi dia tunjuk arah: minat naik, mendatar, atau menurun, dan bila musim puncaknya. Untuk produk bermusim macam hadiah atau pakaian raya, graf ni sangat berharga.

Kos penuh ujian demand ni

RM0

Keyword Planner + autocomplete + Google Trends — ketiga-tiganya percuma.
Lima minit malam ni boleh selamatkan beribu ringgit bulan depan.
Keyword Planner: akses percuma tanpa kempen sejak 2023 (Google Ads Help)

3. Case Study: Tali Pinggang Buatan Tangan

Untuk produk niche seperti tali pinggang buatan tangan, keputusan Google Ads bergantung pada hasil ujian carian: jika carian wujud untuk kategori umum (contoh "tali pinggang kulit lelaki"), ada laluan masuk melalui keyword long-tail; jika carian untuk istilah "handmade" hampir sifar, permintaan perlu dicipta dahulu di platform discovery sebelum Search menjadi berbaloi.

Jom jalankan ujian tu atas soalan sebenar dari group: tali pinggang buatan tangan. Bila awak buat langkah 1 hingga 3 tadi, salah satu daripada tiga senario ni akan muncul. Setiap satu ada laluan sendiri.

Apa ujian tunjukkan Maksudnya Laluan yang betul
Senario A: Volume sihat pada istilah umum ("tali pinggang kulit", "tali pinggang lelaki") Permintaan kategori wujud — tapi awak akan bersaing dengan marketplace dan seller besar Masuk Search melalui long-tail: "tali pinggang kulit asli custom", "tali pinggang kulit handmade Malaysia". Lebih spesifik, lebih murah, lebih padan dengan produk awak
Senario B: Volume kecil tapi wujud (julat bawah dalam Keyword Planner) Ada niche kecil yang mencari — cukup untuk diuji, tak cukup untuk skala besar Kempen kecil, exact match dan phrase match sahaja, bajet minimum, ukur betul-betul sebelum tambah
Senario C: Hampir sifar untuk semua istilah berkaitan produk awak Permintaan belum wujud dalam bentuk carian Jangan paksa Search. Cipta minat dulu di FB/TikTok/Demand Gen — dan bila orang mula cari nama jenama awak, masa tu Search masuk

Perhatikan satu benda dalam Senario A. Orang jarang taip "tali pinggang buatan tangan" bulat-bulat. Tapi mereka taip kategori umum, dan sebahagian daripada mereka memang mencari sesuatu yang lebih istimewa daripada barang kilang. Kerja keyword awak ialah jumpa titik pertemuan tu. Bukan tangkap semua carian tali pinggang. Tangkap yang mencari jenis awak.

Saya tak akan reka nombor volume kat sini sebab angka sebenar berubah ikut masa dan hanya bermakna bila awak check sendiri untuk produk awak. Yang penting bukan angkanya. Yang penting ialah corak yang ujian tu dedahkan, dan tiga senario di atas meliputi hampir semua kemungkinan.

4. 4 Situasi Di Mana Google Ads Belum Sesuai

Google Ads belum sesuai untuk bisnes dalam empat situasi: produk yang tiada permintaan carian, bajet di bawah paras minimum yang boleh diukur, tiada website atau tempat mendarat untuk klik, dan margin keuntungan yang terlalu nipis berbanding kos klik dalam sektor tersebut. Keempat-empatnya boleh diperbaiki — "belum sesuai" tidak bermakna "tak sesuai selamanya".

Situasi 1: Tiada siapa cari produk awak. Ini Senario C tadi. Awak boleh ada produk terbaik di Malaysia dan Search tetap takkan bawa hasil, sebab tiada carian untuk ditangkap. Selesaikan masalah permintaan dulu, baru fikir Search.

Situasi 2: Bajet bawah paras minimum. Angka kerja yang saya guna untuk kebanyakan SME: sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan untuk kempen Search yang boleh diukur dengan adil. Pecahan penuh ikut sektor ada dalam panduan kos Google Ads Malaysia. Bajet RM300 sebulan bukan tak boleh jalan langsung, tapi selalunya ia habis sebelum data cukup untuk buat sebarang keputusan. Separuh jalan, belajar pun tak sempat.

Situasi 3: Tiada tempat mendarat. Klik yang awak bayar kena pergi ke suatu tempat yang menjual. Website ringkas dengan butang WhatsApp dah memadai untuk mula. Kalau setakat ni semua jualan awak lalu DM Instagram, baca dulu kenapa bisnes perlu website sendiri sebelum fikir pasal iklan.

Situasi 4: Margin nipis dalam sektor CPC tinggi. Ini yang paling kerap orang terlepas kira. Kalau untung bersih satu jualan RM15 dan kos satu klik dalam sektor awak RM3, awak perlukan conversion rate yang sangat baik semata-mata untuk pulang modal. Kira unit economics dulu. Dalam kelas training, bahagian ni yang paling banyak buat peserta tersedar. Matematiknya senang je. Cuma tak pernah ada siapa suruh mereka kira.

⚠️ "Belum sesuai" bukan bermakna "tak sesuai selamanya"

Keempat-empat situasi di atas boleh berubah. Permintaan boleh dibina. Bajet boleh dikumpul sementara GBP percuma buat kerja. Website ringkas boleh siap dalam seminggu. Margin boleh diperbaiki dengan menaikkan nilai purata jualan.

Yang saya nak elakkan ialah bisnes masuk Google Ads pada masa yang salah, rugi, lepas tu simpulkan "Google Ads tak jalan untuk bisnes macam saya." Platform tu tak bersalah. Timing yang belum betul.

5. Kalau Bukan Google Search, Apa Pilihannya?

Bisnes yang belum sesuai dengan Google Search masih ada empat laluan pemasaran yang jelas: platform discovery (Facebook, TikTok, Instagram) untuk mencipta permintaan, marketplace (Shopee, TikTok Shop) untuk menangkap niat beli sedia ada, Google Business Profile secara percuma untuk servis tempatan, dan Demand Gen untuk kekal dalam ekosistem Google dengan capaian kira-kira 3 bilion pengguna bulanan (Sumber: Google).
Situasi bisnes awak Platform yang lebih padan Kenapa
Produk visual & unik, orang belum kenal (handmade, craft, design sendiri) FB / TikTok / Instagram Platform discovery cipta minat dari kosong. Produk cantik dalam video pendek boleh jumpa pembeli yang tak pernah terfikir nak cari
Produk fizikal, kategori biasa, harga standard Shopee / TikTok Shop Niat beli dah wujud dalam marketplace — orang buka app tu memang nak shopping
Servis tempatan (kedai, klinik, bengkel, runcit) Google Business Profile — percuma Muncul di Google Maps dan carian lokal tanpa bayar. Panduan penuh dalam artikel GBP Malaysia
Nak kekal ekosistem Google tapi produk masih baru Demand Gen Iklan feed visual di YouTube Shorts, Discover & Gmail — gaya paling dekat dengan FB Ads, capaian ~3 bilion pengguna bulanan (Sumber: Google)

Soalan yang betul bukan "platform mana paling power" tapi "pelanggan saya berada di mana, dan pada tahap niat yang mana." Produk sama boleh perlukan platform berbeza pada fasa bisnes berbeza. Perbandingan penuh tiga platform iklan utama ada dalam Google Ads vs Facebook Ads vs TikTok Ads Malaysia.

Dan untuk yang tanya "yang free tu macam mana nak buat duit", GBP ialah jawapan paling praktikal untuk bisnes tempatan. Percuma, dan AI serta Google Maps memang guna data tu untuk cadangkan bisnes kepada orang berdekatan.

6. Lulus Ujian? Ini Cara Masuk Yang Betul

Bisnes yang lulus ujian demand patut mula Google Ads dengan urutan berikut: pasang conversion tracking dahulu, bina senarai keyword spesifik berserta negative keywords dari hari pertama, mula dengan kempen Search berbajet terkawal, dan hanya kembangkan selepas data conversion menunjukkan kos yang masuk akal.

Kalau ujian tadi menunjukkan Senario A atau B, maksudnya permintaan wujud, ini urutan masuk yang saya guna untuk akaun sendiri:

Pertama, tracking sebelum iklan. Tanpa conversion tracking awak takkan tahu keyword mana bawa WhatsApp enquiry dan mana bakar duit. Panduan pasang ada dalam artikel conversion tracking.

Kedua, keyword spesifik + negative keywords dari hari pertama. Long-tail yang padan dengan produk awak, dan senarai negative keywords untuk tapis carian free, murah, DIY, dan kerja kosong.

Ketiga, mula kecil dan ukur. Kempen pertama bukan untuk untung besar. Ia untuk beli data: keyword mana convert, berapa kos sebenar satu enquiry, ayat iklan mana orang klik. Panduan setup penuh dari kosong ada dalam artikel setup Google Ads pemula.

Dan kalau nak orang yang buat benda ni setiap hari semak dulu situasi awak sebelum keluar duit, boleh terus urus kempen Google Ads anda bersama Google Partner Malaysia, atau ambil slot konsultasi percuma. Saya akan jawab jujur, termasuk kalau jawapannya "jangan masuk dulu."

Soalan Lazim (FAQ)

Tidak. Google Ads (khususnya Search) paling berkesan bila permintaan sudah wujud — orang memang menaip carian untuk produk atau servis anda. Bisnes dengan produk yang belum dicari sesiapa, bajet bawah paras minimum, atau tiada tempat mendarat (website/GBP) lebih baik selesaikan asas tu dulu, atau mula di platform yang mencipta permintaan.
Tiga cara percuma: (1) Google Keyword Planner — taip nama produk anda dan lihat anggaran carian bulanan di Malaysia; (2) Google autocomplete — taip separuh nama produk dan tengok apa Google cadangkan; (3) Google Trends — lihat arah minat dari masa ke masa. Ketiga-tiganya boleh dibuat dalam 5 minit tanpa sebarang kos.
Ya, percuma. Anda perlukan akaun Google Ads, tapi tidak perlu jalankan kempen atau masukkan kad — perubahan ini berkuat kuasa sejak 2023 (Sumber: Google Ads Help). Nota penting: tanpa perbelanjaan iklan aktif, volume carian dipaparkan dalam julat kasar seperti 1K–10K, bukan angka tepat. Untuk keputusan sama ada demand wujud atau tidak, julat tu sudah memadai.
Bergantung pada apa yang orang taip. Kalau ada carian untuk kategori produk anda (contoh: tali pinggang kulit lelaki), ada laluan masuk melalui long-tail keyword. Kalau carian untuk istilah handmade hampir sifar, permintaan belum wujud — lebih baik cipta minat dulu melalui Facebook, TikTok, atau Demand Gen, dan biar Google Search tangkap carian jenama yang muncul kemudian.
Untuk kebanyakan SME Malaysia, angka kerja yang saya guna ialah sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan untuk kempen Search yang boleh diukur dengan adil — angka penuh mengikut sektor ada dalam panduan kos Google Ads Malaysia. Bajet jauh di bawah paras tu selalunya habis sebelum data cukup untuk buat keputusan.
Cipta permintaan dulu. Platform discovery seperti Facebook, TikTok, dan Instagram memperkenalkan produk kepada orang yang belum tahu ia wujud; dalam ekosistem Google, Demand Gen buat kerja yang sama di YouTube, Discover dan Gmail. Bila orang mula cari nama jenama anda di Google — itu signal permintaan dah terbentuk, dan masa tu kempen Search mula masuk akal.
Secara teknikal ada laluan terhad, tapi untuk kempen Search biasa anda perlukan tempat mendarat yang meyakinkan — website ringkas atau landing page dengan butang WhatsApp sudah mencukupi untuk mula. Tanpa tempat mendarat, klik yang anda bayar tiada destinasi yang menjual. Bina asas tu dulu; ia lebih murah daripada membakar bajet iklan.

Nak Second Opinion Sebelum Keluar Bajet?

Hantar je jenis bisnes awak — saya jalankan demand check dan jawab jujur: masuk Google Ads sekarang, atau bina asas lain dulu. Konsultasi pertama percuma.

Azrain Alaman — Google Partner Malaysia

Azrain Alaman

Google Partner · HRD Corp Certified Trainer · eUsahawan Subject Matter Expert

Pengamal aktif Google Ads sejak 2014, mengurus akaun aktif merentas sektor healthcare, pelaburan emas Islam, pendidikan dan servis tempatan di Malaysia. Artikel ini menjawab soalan sebenar daripada komuniti WhatsApp beliau; fakta platform disahkan daripada dokumentasi rasmi Google (Julai 2026).

Sumber & Rujukan

  1. Google Ads Help (2026) — Use Keyword Planner. Akses percuma; tidak memerlukan kempen aktif atau maklumat billing (sejak perubahan 2023).
  2. Google Ads Help + kajian industri 2026 (The SEO Engine, Store Growers) — Tanpa ad spend aktif, volume carian dipaparkan dalam julat kasar (cth. 1K–10K); angka tepat dibuka dengan spend aktif.
  3. Google Ads / business.google.com (2026) — Demand Gen reach: kira-kira 3 bilion pengguna bulanan merentas permukaan Google.
  4. Pengalaman akaun aktif Azrain Alaman (2014–2026) — angka kerja bajet minimum SME dan pemerhatian corak; tiada URL rujukan.
  5. Soalan komuniti WhatsApp "Google by Azrain Alaman" (Julai 2026) — case study tali pinggang buatan tangan; identiti penanya dirahsiakan.